Fasa Berpantang : Otot Lemah Menjadi Punca Sakit Yang Tidak Disedari.

Memahami Kelemahan Otot Lantai Pelvis, Diastasis Recti, Sakit Belakang dan Pencegahan Osteoporosis Awal
Pengenalan
Selepas melalui proses kehamilan dan kelahiran, tubuh wanita mengalami pelbagai perubahan fizikal. Antara masalah kesihatan yang sering berlaku selepas bersalin ialah kelemahan otot lantai pelvis, diastasis recti (pemisahan otot perut), sakit belakang(pinggang), dan penurunan kepadatan tulang yang boleh meningkatkan risiko osteoporosis.
Kajian perubatan menunjukkan perubahan hormon, tekanan pada otot dan tulang semasa kehamilan, serta proses kelahiran boleh mempengaruhi sistem otot dan rangka badan wanita (Yoseph et al, 2025).
Kelemahan Otot Lantai Pelvis
Otot lantai pelvis ialah sekumpulan otot yang terletak di bahagian bawah pelvis dan berfungsi menyokong organ penting seperti pundi kencing, rahim dan usus.
Semasa kehamilan, berat bayi yang semakin meningkat
memberi tekanan berterusan kepada otot lantai pelvis.
Selain itu, proses kelahiran, terutamanya kelahiran normal,
boleh menyebabkan otot ini menjadi regang,
lemah atau mengalami kecederaan kecil.
Latihan yang paling disarankan ialah latihan Kegel, iaitu dengan mengetatkan otot seolah-olah menahan kencing selama 5 saat dan diulang sebanyak 15 kali bagi setiap sesi. Dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari (Beamish et al. 2025) secara konsisten boleh mengurangkan risiko kebocoran air kencing selepas bersalin sebanyak kira-kira 37%.
Diastasis Recti (Pemisahan Otot Perut)
Diastasis recti abdominis, keadaan ini berlaku apabila dua bahagian otot perut utama yang dipanggil rectus abdominis terpisah akibat tekanan daripada rahim yang membesar semasa kehamilan.
Selepas bersalin, pemisahan ini boleh kekal jika otot tidak pulih dengan baik. Tanda-tanda diastasis recti termasuk perut masih kelihatan buncit, kelemahan otot perut, dan sakit belakang.
Bagi mengatasi masalah ini, senaman yang menumpukan kepada pengaktifan otot teras secara mendalam seperti teknik “draw-in” (menarik perut ke dalam), pelvic tilt, serta latihan seperti heel slide dan marching adalah sangat digalakkan (Fei et al. 2021)
Sakit Belakang Selepas Bersalin
Sakit belakang di bahagian pinggang merupakan masalah yang dialami
oleh wanita semasa dan selepas kehamilan. Lebih daripada separuh
wanita mengalami sakit belakang semasa kehamilan dan sebahagiannya
berterusan hingga selepas bersalin (Chunmei et al., 2025).
Bagi mengurangkan sakit belakang, senaman seperti bridging, bird-dog, serta regangan otot hamstring dan bahagian bawah belakang adalah sangat berkesan (Chunmei et al. 2025)

Pencegahan Osteoporosis Awal
Semasa kehamilan dan penyusuan, tubuh ibu memerlukan kalsium yang tinggi, jika pengambilan kalsium tidak mencukupi, tubuh akan mengambil kalsium daripada tulang ibu.
Kajian menunjukkan bahawa wanita mengalami penurunan kepadatan tulang semasa kehamilan dan penyusuan (Moller et al., 2012). Dalam kebanyakan kes, tulang akan pulih selepas tempoh penyusuan.

Selain pengambilan kalsium dan vitamin D, senaman jenis beban seperti berjalan, squat ringan, dan step-up sangat digalakkan (Moller et al. 2012). Aktiviti fizikal jenis ini berperanan penting dalam mengekalkan dan meningkatkan kepadatan tulang.
Kesimpulan
Kehamilan membawa perubahan besar kepada tubuh wanita. Kelemahan otot lantai pelvis, diastasis recti, sakit belakang selepas bersalin serta perubahan pada kepadatan tulang adalah antara masalah yang boleh berlaku dalam tempoh selepas bersalin.
Dapatkan pemeriksaan dan rawatan di pusat fisioterapi untuk program pemulihan yang sesuai dengan masalah. Penjagaan postur yang baik serta pemakanan yang menyokong kesihatan tulang. Kebanyakan wanita boleh pulih dengan baik dan kembali kepada tahap kesihatan yang optimum.
