500,000 penerima PeKa Sihat bakal terima CarePass percuma bernilai RM599

Oktober 30, 2026 

Kerjasama Alpro Health dan ProtectHealth membolehkan seramai 500,000 penerima Program Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa Sihat) layak berpeluang menerima keahlian CarePass PeKa Edition percuma.

Kerjasama Alpro Health dan ProtectHealth membolehkan seramai 500,000 penerima Program Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa Sihat) layak berpeluang menerima keahlian CarePass PeKa Edition percuma.

KUALA LUMPUR: Seramai 500,000 penerima Program Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa Sihat) yang layak berpeluang menerima keahlian CarePass PeKa Edition percuma bernilai lebih RM599 menerusi kerjasama Alpro Health dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

Tawaran tanpa kos tambahan itu diberikan kepada penerima terawal yang melengkapkan saringan kesihatan PeKa Sihat di klinik Alpro yang mengambil bahagian, tertakluk kepada stok yang masih tersedia.

Inisiatif berkenaan bertujuan memperluas akses kepada penjagaan kesihatan pencegahan dengan menggabungkan perkhidmatan saringan kesihatan menerusi rangkaian klinik Alpro di Malaysia Timur dan Barat serta manfaat penjagaan kesihatan susulan sepanjang tempoh 12 bulan.

Menerusi kerjasama itu, penerima yang layak bukan sahaja dapat menjalani saringan kesihatan PeKa Sihat termasuk ujian darah, malah turut menikmati pelbagai perkhidmatan pencegahan menerusi keahlian CarePass Alpro Health.

Inisiatif berkenaan berpotensi menawarkan nilai gabungan manfaat penjagaan kesihatan sebanyak RM300 juta, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia mengambil pendekatan proaktif dalam menjaga kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alpro Health, Then Ru Luen, berkata saringan kesihatan sepatutnya menjadi permulaan kepada perjalanan penjagaan kesihatan seseorang dan bukan pengakhirannya.

Beliau berkata, CarePass PeKa Edition diperkenalkan bagi membantu penerima yang layak mengambil langkah seterusnya dalam menguruskan kesihatan masing-masing sepanjang tempoh 12 bulan tanpa kos tambahan.

"Matlamat kami ialah menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil pendekatan proaktif terhadap kesihatan mereka dan menjadikan penjagaan pencegahan sebahagian daripada kehidupan seharian," katanya.

CarePass PeKa Edition menawarkan tujuh manfaat utama, termasuk suntikan selesema, saringan mata dibantu kecerdasan buatan (AI) bagi menilai risiko glaukoma dengan semakan optometris serta ujian pendengaran menyeluruh bersama konsultasi audiologis.

Turut disediakan ialah sesi terapi kelegaan leher dan belakang selama 45 minit bersama ahli fisioterapi, konsultasi doktor dalam talian tanpa had bermula RM29 setiap lawatan dengan ubat tersedia, perlindungan kemalangan diri sehingga RM50,000 dan hadiah misteri.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Alpro Clinic, Dr Ng Ming Lee, berkata pengesanan awal membolehkan individu memahami risiko kesihatan masing-masing dan mengambil tindakan sebelum sesuatu keadaan menjadi lebih serius.

Beliau berkata, kerjasama itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai penerima PeKa Sihat yang layak tampil menjalani saringan kesihatan.

Selain rangkaian klinik tetap, Alpro turut bekerjasama dengan CarePro menerusi perkhidmatan klinik bergerak bagi mendekatkan saringan kesihatan berjadual kepada komuniti terpilih.

Menurutnya, gabungan rangkaian klinik Alpro dan perkhidmatan bergerak CarePro dapat membantu meluaskan akses kepada penjagaan kesihatan pencegahan dalam kalangan masyarakat.

PeKa Sihat ialah inisiatif penjagaan kesihatan kerajaan yang ditadbir ProtectHealth bagi menggalakkan rakyat Malaysia yang layak menjalani saringan kesihatan serta mengenal pasti risiko penyakit pada peringkat awal.

Setakat September 2026, seramai 2.1 juta rakyat Malaysia sudah menjalani saringan kesihatan menerusi program berkenaan.

Pada 2025, seramai 328,302 individu menjalani saringan kesihatan PeKa Sihat, dengan 44.5 peratus daripadanya didapati mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan yang belum dikesan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib, berkata PeKa Sihat memainkan peranan penting dalam membantu rakyat Malaysia yang layak memahami status kesihatan dan mendapatkan rawatan lebih awal.

Beliau berkata, kerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan swasta dapat membantu memperluas jangkauan saringan serta memudahkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan.

"Kami mengalu-alukan sokongan Alpro Group dalam memperkukuh pelaksanaan inisiatif ini dan menggalakkan lebih ramai penerima yang layak menjalani saringan kesihatan," katanya.

ProtectHealth ialah organisasi bukan berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan yang mentadbir inisiatif pembiayaan penjagaan kesihatan yang diamanahkan kementerian, termasuk PeKa Sihat.

Penerima yang layak boleh menebus CarePass PeKa Edition secara percuma dengan melengkapkan saringan kesihatan PeKa Sihat di klinik Alpro yang mengambil bahagian.

Senarai penuh lokasi klinik boleh disemak menerusi laman web www.alproclinic.com 

Baca artikel penuh di sini.