Alpro perkenal pemeriksaan Ferritin RM1 bagi bantu wanita fahami peralihan menopaus
July 20, 2026

FASA menopaus adalah topik yang semakin terbuka diperbincangkan, namun ramai diantara kita yang masih kurang cakna pada tempoh beberapa tahun sebelum menopaus. Dikenali sebagai fasa perimenopaus, ia dilihat sebagai fasa peralihan yang menuntut pemahaman pada perubahan semula jadi tubuh.
Ramai wanita memasuki fasa peralihan ini tanpa benar-benar memahami apa yang sedang berlaku kepada tubuh mereka atau mengetahui di mana mereka boleh mendapatkan sokongan yang sewajarnya.
Dalam fasa perimenopaus, wanita mungkin mengalami perubahan pada kitaran haid, tahap tenaga, tumpuan, corak tidur, emosi serta kesejahteraan diri secara keseluruhan. Perubahan ini boleh bermula beberapa tahun sebelum menopaus dan secara beransur-ansur memberi kesan kepada kehidupan harian, kerjaya serta tanggungjawab terhadap keluarga.
Menyedari kepentingan meningkatkan kesedaran dan sokongan lebih awal, Alpro Pharmacy memperkenalkan Me. NO PAUSE, satu inisiatif kesihatan wanita yang direka untuk membantu wanita memahami perubahan yang berlaku pada diri mereka, membuat persediaan lebih awal dan menjalani peralihan ke menopaus dengan lebih yakin dan sihat.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Alpro menawarkan Pemeriksaan Ferritin RM1 Bersubsidi kepada wanita yang layak, berbanding harga biasa pada RM35. Alpro menanggung subsidi sebanyak RM34 bagi setiap pemeriksaan bagi memastikan penilaian simpanan zat besi lebih mampu milik dan mudah diakses oleh masyarakat.
Wanita berumur 35 tahun ke atas, terutamanya mereka yang mengalami keletihan berpanjangan, brain fog (kesukaran untuk berfikir atau memberi tumpuan), keguguran rambut atau kuku rapuh, digalakkan menjalani pemeriksaan ferritin dan mendapatkan nasihat daripada profesional penjagaan kesihatan mengenai keputusan yang diperoleh.
Kepentingan pemeriksaan ferritin
Wanita yang berusia lewat 30-an, 40-an dan awal 50-an lazimnya memikul pelbagai tanggungjawab di rumah, di tempat kerja serta dalam komuniti. Justeru, keletihan yang berpanjangan atau kesukaran untuk memberi tumpuan sering dianggap sekadar kesan tekanan, kurang tidur, peningkatan usia atau sebahagian daripada kehidupan yang sibuk.
Namun, simptom-simptom ini tidak seharusnya dianggap perkara biasa tanpa diberikan perhatian.
Ferritin ialah protein yang berfungsi menyimpan zat besi di dalam badan. Pemeriksaan ferritin membantu menilai tahap simpanan zat besi seseorang dan boleh mengesan kekurangan zat besi sebelum ia berkembang menjadi anemia akibat kekurangan zat besi.
Simptom seperti keletihan dan brain fog bukanlah simptom yang khusus kerana ia boleh berpunca daripada pelbagai keadaan kesihatan. Walau bagaimanapun, pemeriksaan ferritin memberi peluang kepada wanita untuk mengenal pasti satu punca yang sering terlepas pandang serta mendapatkan nasihat profesional yang bersesuaian.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kira-kira satu daripada tiga wanita Malaysia dalam usia reproduktif, iaitu antara 15 hingga 49 tahun, mengalami anemia. Walaupun isu ini memberi kesan kepada ramai wanita, pemeriksaan ferritin masih belum menjadi sebahagian daripada saringan kesihatan rutin yang sering dibincangkan dalam kalangan wanita.
Tingkatkan kesedaran dan ubah persepsi
Melalui Me. NO PAUSE, Alpro berharap dapat mengubah persepsi dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan ferritin.
Ahli Farmasi Professional Care & Development dan Ketua Projek Me. NO PAUSE di Alpro Pharmacy, Ng Yi Ling, berkata, RM1 ini bukan sekadar satu promosi, tetapi melambangkan komitmen Alpro untuk menghapuskan halangan kos sebagai langkah pertama mendapatkan saringan kesihatan.
“Kami mahu memulakan perbualan ini lebih awal, sebelum wanita memasuki fasa menopaus dan sebelum keletihan dianggap sebagai sesuatu yang perlu mereka terima sebagai lumrah kehidupan.
“Wanita sering dijangka terus menjalankan tanggungjawab harian walaupun mereka berasa letih secara berterusan, mengalami kesukaran untuk berfikir dengan jelas atau sekadar merasakan diri mereka tidak seperti biasa. Keadaan ini sering dianggap hanya berpunca daripada tekanan, peningkatan usia atau terlalu banyak tanggungjawab.
“Pemeriksaan ferritin dapat membantu wanita mengenal pasti sama ada simpanan zat besi yang rendah mungkin menjadi salah satu punca kepada simptom yang dialami. Mereka juga boleh berbincang dengan ahli farmasi dan mendapatkan panduan mengenai langkah seterusnya yang sesuai.
“Keletihan mereka wajar didengari, kebimbangan mereka perlu diambil serius, dan kesihatan mereka tidak seharusnya diketepikan,” ujarnya.
300 penganalisis ferritin disediakan
Bagi menyokong misi ini, Powerlife, salah sebuah penyedia suplemen kesihatan terkemuka di Malaysia, tampil sebagai rakan utama Me. NO PAUSE bagi meningkatkan akses kepada pemeriksaan ferritin untuk wanita di seluruh negara.
Melalui kerjasama ini, sebanyak 300 penganalisis Ferritin daripada Global Science, yang menggunakan teknologi fluoresens mudah alih untuk memberikan keputusan dalam masa beberapa minit, disediakan di semua cawangan Alpro Pharmacy.
Dengan menghubungkan saringan yang mudah diakses dengan kaunseling oleh ahli farmasi serta laluan rujukan yang bersesuaian, Alpro berhasrat untuk menterjemahkan kesedaran kepada tindakan penjagaan kesihatan yang lebih bermakna dan bertanggungjawab.
Melalui Me. NO PAUSE, Alpro berharap dapat membantu lebih ramai wanita berasa didengari, lebih memahami perubahan yang dialami serta mendapat sokongan yang diperlukan sebelum, semasa dan selepas melalui peralihan ke menopaus.